Tuntutan insurans hayat RM6.7b tahun lalu

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Syarikat-syarikat insurans hayat membayar tuntutan berjumlah RM6.7 bilion pada tahun lalu berbanding RM5.6 bilion pada 2011, peningkatan sebanyak 19 peratus

Menurut kenyataan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), jumlah tersebut meliputi beberapa jenis tuntutan seperti kematian, hilang keupayaan, perubatan serta pembayaran bonus tunai.

Selain itu, RM7.6 bilion turut dibayar atas sebab kematangan polisi dan juga penutupan polisi pada tahun lalu.

Presiden LIAM, Vincent Kwo berkata, pihaknya menggalakkan setiap individu di negara ini mempunyai insurans hayat peribadi dengan mendapatkan nasihat daripada pelbagai syarikat yang menawarkan produk tersebut.

"Khususnya kepada golongan muda, ini kerana mereka boleh menikmati bayaran premium bulanan yang lebih rendah.

"Insurans penting untuk dijadikan sebagai perlindungan dan pada masa yang sama sebagai bentuk penyimpanan jangka panjang," katanya dalam kenyataan itu.


Sehingga Disember 2012, nilai terkumpul penduduk Malaysia yang mendapat pelbagai perlindungan insurans bernilai RM1.02 trilion, menurut LIAM.

Nilai tersebut naik sebanyak lapan peratus berbanding 2011 berjumlah RM946 bilion.

Jumlah per kapita perlindungan insurans di Malaysia berjumlah RM34,700 pada 2012, naik 6.7 peratus berbanding RM32,533 pada 2011.

"Jumlah per kapita itu amat rendah, sepatutnya setiap individu di negara ini harus mempunyai perlindungan bernilai kira-kira RM310,000. Jurangnya begitu jauh berbanding ketika ini (RM34,700)," kata Kwo.

Industri Insurans Hayat merekodkan pertumbuhan perniagaan baharu pada kadar 2.2 peratus. Polisi berkaitan pelaburan terus berkembang baik dengan menguasai 49.5 peratus daripada jumlah perniagaan baharu pada 2012.


Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130219/ek_02/Tuntutan-insurans-hayat-RM67b-tahun-lalu#ixzz2LOIbcFTJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Reactions:

0 komen: